Nurul Hidayah Bahaudin dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), namun hanya bagi tujuan vaksinasi Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penduduk di lokaliti dikenakan perintah itu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) hanya perlu menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau mesej pesanan ringkas (SMS).

"Pergerakan ini hanya bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal.

"Jawatankuasa penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan-kawasan yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

JURURAWAT menyuntik vaksin Covid-19 kepada penerima. FOTO Ghazali Kori.
JURURAWAT menyuntik vaksin Covid-19 kepada penerima. FOTO Ghazali Kori.

Beliau juga memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan PKPD di Selangor dan WPKL.

Terdahulu, beliau mengumumkan sebahagian besar mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di WPKL dikenakan PKPD mulai Sabtu ini hingga 16 Julai.

Berita berkaitan

PKPD di Selangor, KL mulai Sabtu ini

PKPD KL, Selangor: Peniaga makanan dibenar beroperasi setakat 8 malam

SOP terkini bagi PKPD KL, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 8:02 PM