DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak belum membincangkan tarikh sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) meskipun sejumlah 1.3 juta rakyatnya sudah menjalani proses vaksinasi Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, tumpuan utama pihaknya kini hanyalah untuk melengkapkan vaksinasi terhadap 2.08 juta rakyat yang layak.

Beliau berkata, dengan lebih 50 peratus rakyat yang sudah menerima vaksin ketika ini, pihaknya yakin sasaran untuk melengkapkan program imunisasi di Sarawak akan dapat dicapai menjelang penghujung Ogos depan.

"Walaupun Sarawak berjaya mencatat jumlah proses vaksinasi harian yang tinggi dan sudah melepasi 50 peratus daripada populasi, kami belum memikirkan soal pilihan raya kerana yang paling penting ialah fokus terhadap program vaksinasi.

"Paling utama bagi kerajaan sekarang ialah keselamatan rakyat," katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid di Dewan Majma' di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak tamat penggalnya pada 7 Jun lalu namun kekal berfungsi hingga 1 Ogos depan mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak juga kekal sehingga Dun Sarawak dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sasaran untuk melengkapkan vaksinasi menjelang penghujung Ogos dijangka dicapai dengan penerimaan vaksin CanSino yang dijangka tiba pertengahan bulan ini.

"Sekarang Sarawak sudah menerima tiga jenis vaksin iaitu Pfizer BioNTECH, Sinovac dan AstraZeneca.

"Jika vaksin CanSino tiba mengikut jadual, saya yakin proses vaksinasi akan dapat dipercepatkan lagi kerana vaksin berkenaan adalah dos tunggal dan ia amat sesuai untuk dihantar ke kawasan pedalaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:00 PM