PETUGAS kesihatan  lengkap berpakaian PPE merawat pesakit di kawasan kecemasan di tempat letak kenderaan yang disediakan untuk menampung pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.
PETUGAS kesihatan lengkap berpakaian PPE merawat pesakit di kawasan kecemasan di tempat letak kenderaan yang disediakan untuk menampung pesakit Covid-19 di sebuah hospital di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Meskipun sejumlah besar populasi rakyat mereka menerima suntikan vaksin, negara seperti United Kingdom (UK) dan Israel tetap mencatatkan lonjakan kes Covid-19 baharu terutama disebabkan kemunculan varian Delta.

Menurut Our World in Data, 48.4 peratus dan 57 peratus penduduk United Kingdom dan Israel masing-masing sudah menerima suntikan vaksin sepenuhnya.

Berdasarkan data coronavirus.data.gov.uk, UK mencatatkan sejumlah 22,868 kes positif pada 28 Jun dan tiga kematian pada hari yang sama.

Oleh itu, suntikan vaksin sahaja tidak mencukupi bagi mengalahkan virus ini. Pakar kesihatan awam dan ahli epidemiologi seluruh dunia menyatakan bahawa amat penting meneruskan amalan kesihatan awam yang baik, di samping proses vaksinasi.

Mengamalkan norma baharu di samping program vaksinasi mungkin satu-satunya jalan keluar berkesan dalam menghadapi wabak ini.

Penolong Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), untuk akses kepada ubat-ubatan dan produk kesihatan, Dr Mariangela Simao dalam sidang media di ibu pejabat agensi itu di Geneva pada 25 Jun menyatakan bahawa vaksin sahaja tidak mampu menghentikan penularan dalam komuniti.

"Di saat penularan komuniti masih berlaku, masyarakat seharusnya terus mempraktikkan penggunaan pelitup muka secara konsisten, berada di kawasan dengan peredaran udara yang baik, memastikan kebersihan tangan, menjaga jarak fizikal, menghindari kesesakan, walaupun jika anda sudah menerima suntikan vaksin," Simao berkata.

Pakar kesihatan Malaysia juga mengulangi pendirian sama, seperti dibuat rakan sejawat di seluruh dunia, dengan mengatakan bahawa orang ramai harus mematuhi langkah-langkah keselamatan Covid-19 setiap masa walaupun negara ini sedang meningkatkan kadar program vaksinasi.

Prof Dr G Jayakumar berkata, suntikan vaksin dan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok seharusnya tidak boleh dilihat sebagai perisai bagi mengurangi pandemik, sebaliknya harus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam yang lain.

"Tujuannya agar kita dapat menerapkan amalan kesihatan yang baik sebagai norma dan budaya baharu dalam masyarakat.

"Harus ada kesedaran diri bahawa dengan menjaga kebersihan tangan, mengamalkan etika batuk, menghindari tempat sesak dan memakai pelitup muka mampu mengurangkan risiko jangkitan," kata beliau yang merupakan timbalan dekan (pra-klinikal) Fakulti Perubatan, Kolej Universiti Manipal di Melaka.

Dr Jayakumar juga mengatakan perlu lebih banyak usaha dilakukan bagi membentuk kepercayaan terhadap institusi kesihatan.

"Pemimpin agama dan ketua masyarakat setempat seharusnya berkomunikasi, mendidik, meyakinkan orang ramai tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin serta menjadi inspirasi terhadap budaya kebersihan kepada rakyat," tambahnya.

Ketua di Jabatan Sosial, dan Terapi Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya Prof Dr Victor Hoe mengatakan adalah sangat penting untuk pihak berkuasa memberi suntikan vaksin secepat mungkin, berikutan kemunculan varian baharu dan negara masih merekodkan jumlah jangkitan harian yang tinggi.

"Berdasarkan sifat virus yang masih berevolusi dan kemunculan varian Delta yang lebih berisiko saat ini, termasuk faktor lain seperti orang dijangkiti tidak mengalami sebarang gejala, penting bagi kita untuk memberi suntikan vaksin secepat mungkin," katanya.

Mengambil contoh seperti di United Kingdom dan Israel, beliau mengatakan bahawa negara berkenaan masih mencatat lonjakan kes berikutan kemunculan varian Delta, walaupun sejumlah besar populasi mereka telah diberi vaksin.

Dr Hoe bersetuju bahawa amalan kesihatan awam mesti dipatuhi setiap saat termasuk memakai pelitup muka dengan betul setiap saat dan membersihkan tangan dengan kerap, sementara kawalan sempadan dan tempoh kuarantin yang lebih ketat mesti dilakukan bagi mengekang penularan varian berbahaya seperti varian Delta.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), pada jam 11.59 malam Isnin (29 Jun), sejumlah 7,593,179 orang di Malaysia telah divaksinasi dan 2,130,051 (6.5 peratus) daripadanya telah lengkap dua dos suntikan.

Sejumlah 16, 630,764 orang di Malaysia telah mendaftar untuk program imunisasi Covid-19 kebangsaan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:00 AM