AMINUDDIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
AMINUDDIN, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri mencadangkan kepada agensi penguat kuasa di negeri itu supaya mana-mana kilang yang didapati kakitangan atau pekerja mereka disahkan positif Covid-19 ditutup selama 14 hari.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan itu dilihat sebagai suatu langkah proaktif dalam usaha membendung penularan wabak pandemik berkenaan khususnya di negeri ini.

"Kita (kerajaan negeri) mencadangkan kepada agensi penguat kuasa seperti Pusat Kesihatan Daerah (PKD) supaya menguatkuasakan peringatan kepada kilang di Negeri Sembilan supaya memastikan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Mana-mana kilang yang didapati pekerja mereka positif Covid-19 digesa ditutup selama 14 hari.

"Itu cadangan yang kita (kerajaan negeri) berikan sebagai langkah mengawal kluster industri, sekali gus memutuskan rantaian wabak ini, namun terpulang kepada pihak penguat kuasa berkaitan mengambil tindakan kerana kita tiada kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita secara atas talian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di sini, hari ini.

Hari ini, Negeri Sembilan merekodkan 644 kes baharu Covid-19 untuk menduduki di tempat kedua tertinggi selepas Selangor yang merekodkan 2,836 kes.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan merekodkan kadar penerimaan vaksin antara yang tertinggi iaitu pada kadar 90 peratus.

Katanya, setakat ini seramai 177,793 individu di negeri ini sudah menerima suntikan dos pertama manakala bilangan yang sudah melengkapkan kedua-dua dos adalah seramai 90,203 orang.

"Bilangan rakyat negeri ini yang mendaftar bagi menerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera pula setakat ini adalah seramai 655,865 orang.

"Kita yakin lebih ramai lagi rakyat negeri akan menerima suntikan vaksin mulai Julai ini dengan sasaran 20,000 suntikan sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 5:36 PM