NOR Afizah menyerahkan sumbangan faedah pengurusan mayat kepada Mohd Fadzli. FOTO Rosli Ilham
NOR Afizah menyerahkan sumbangan faedah pengurusan mayat kepada Mohd Fadzli. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: "Pada Khamis lalu kami bertolak ke Kuala Lumpur dan ketika berhenti rehat di hentian Rehat dan Rawat (RnR) Karak, isteri melihat seekor anjing yang baru melahirkan anak sedang kelaparan.

"Dia mengambil roti dalam kereta dan memberi makan kepada anjing itu. Arwah turut mengingatkan saya berhenti semula di situ untuk memberi anjing itu makanan ketika dalam perjalanan balik," kata Mohd Fadzli Abd Razak sebelum terbabit kemalangan di Kilometer 222.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Kuantan, sehari kemudian yang mengakibatkan isterinya, Roziah Mohamad maut di tempat kejadian.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, Roziah, 44, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari Mercedes-Benz C-300 yang dipandu suaminya.

Mohd Fadzli, 55, berkata, ketika kejadian, mereka berdua dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah di Kampung Balai Besar, Dungun.

"Arwah disahkan mengidap barah payu dara sejak April lalu dan baru beberapa minggu menjalani pembedahan di Hospital KPJ di Kuantan.

"Ketika kejadian itu kami baru selesai bertemu pakar di Hospital KPJ di Ampang Puteri untuk rawatan susulan," katanya ketika menerima kunjungan Skuad Prihatin Perkeso Dungun di rumahnya di Kampung Balai Besar, hari ini.

Dia turut menafikan dakwaan dia memandu laju sehingga isteri terkorban dalam kemalangan itu.

"Ketika itu cuaca mendung dan saya memandu sambil berbual dengan isteri.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba hujan lebat sekali dengan angin lintang yang menyebabkan kereta saya beberapa kali berpusing sebelum terkandas di tepi bukit," katanya.

Dia berkata, dia yang tidak mengalami sebarang kecederaan terkejut apabila mendapati isterinya tiada dalam kereta sebelum menyedari Roziah tercampak keluar.

"Saya tidak tahu bila dia tercampak. Saya berlari mendapatkan isteri dan meminta bantuan orang ramai.

"Saya akui isteri tercampak kerana tidak mengenakan tali pinggang keledar. Dia tak boleh pakai tali pinggang keledar kerana luka pembedahan di dadanya masih belum sembuh," katanya.

Mohd Fadzli berkata, arwah sangat menyayangi haiwan dan suka bermanja dengan kucing peliharaannya.

Menurutnya, isterinya itu juga sempat berpesan supaya dia kuatkan semangat dalam mengharungi cabaran menjaga dan memberi pendidikan kepada tiga anak mereka iaitu Mohd Fadhan Syazwan, 23, Nurin Irdina Syafiqah, 18, dan Muhammad Fakhrul Zaqwan, 12, jika dia meninggal dunia.

"Saya sangat sedih dengan kehilangan ini namun saya perlu reda dengan apa yang sudah disuratkan Ilahi, "katanya.

Sementara itu, Pengurus Pejabat Perkeso Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, arwah yang bekerja dengan sebuah syarikat petrokimia di Kerteh mencarum dengan Perkeso sejak 1996 dan menamatkan perkhidmatan pada 2016.

Menurutnya, suami mangsa layak menerima pencen bulanan seumur hidup manakala dua anaknya yang berusia bawah 21 tahun turut menerima pencen sama sehingga berusia 21 tahun atau tidak lagi berada di bawah tanggungan bapa mereka.

"Pada hari ini kita menyampaikan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada waris sekali gus diharap dapat meringankan waris untuk meneruskan kehidupan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:46 PM