BUAYA jantan dikenali sebagai Mamat  yang tinggal di lombong tinggal di Tepoh berjaya ditangkap  Perhilitan hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
BUAYA jantan dikenali sebagai Mamat yang tinggal di lombong tinggal di Tepoh berjaya ditangkap Perhilitan hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Buaya jantan sepanjang hampir empat meter yang dikatakan 'menghuni' lombong tinggal di Tepoh dekat sini, berjaya ditangkap hari ini.

Reptilia yang dianggarkan seberat 250 kilogram yang terkenal dengan panggilan Adik Mat atau Mamat itu berjaya dikesan selepas dua tahun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memburunya.

Pengarah Perhilitan Terengganu Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, pihaknya sebelum ini memasang tiga perangkap di lokasi berkenaan sejak pertengahan Mei lalu selepas dimaklumkan mengenai kehadiran buaya semula reptilia itu.

Beliau berkata, kaedah itu bagaimanapun tidak berhasil sebelum satu operasi menggunakan kaedah menjerat bermula pada jam 4.30 petang.

"Reptilia itu berjaya ditangkap pada jam 5.45 petang dalam operasi yang dilakukan 17 kakitangan Perhilitan Terengganu dengan bantuan 10 anggota polis yang melakukan kawalan.

"Buaya jantan berusia lapan tahun ini akan dibawa ke Paya Indah Wetland (PIW), Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kisah Mamat pernah tular pada 2016 ketika reptilia itu hanya sepanjang satu meter ketika ditemui penduduk di kampung berkenaan sebelum sang bedal itu menghilangkan diri selama dua tahun.

Bagaimanapun, Mamat muncul kembali di lombong tinggal itu pada 2019 tetapi menghilangkan diri namun pada Mei lalu, reptilia itu sekali lagi dilihat berada di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 9:54 PM