SUASANA sekitar kawasan Segambut Dalam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan di Perketatkan (PKPD). FOTO Fathil Asri.
SUASANA sekitar kawasan Segambut Dalam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan di Perketatkan (PKPD). FOTO Fathil Asri.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak yang sepatutnya tamat esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan 278 ujian saringan dan 134 daripadanya disahkan positif Covid-19.

Pada masa sama, katanya, KKM mendapati penularan masih berlaku malah terdapat juga kes baharu direkodkan dalam kalangan komuniti.

"Selain itu masih banyak sampel ujian saringan belum mendapat keputusan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak bermula 30 Jun sehingga 13 Julai," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pelanjutan PKPD dengan tempoh sama turut dikenakan terhadap Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor.

Sementara itu, katanya, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah hari ini iaitu lebih awal daripada yang yang dijadualkan tamat pada 3 Julai.

"Sepanjang pelaksanaan PKPD di lokaliti itu, KKM melakukan 448 ujian saringan dan 10 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Pada masa sama, KKM mendapati terdapat trend penurunan kes dan tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah hari ini, lebih awal daripada dijadualkan.

Katanya, turut ditamatkan lebih awal pada jam 11.59 malam ini adalah PKPD di Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah berbanding yang dijadualkan tamat pada 2 Julai.

"Begitu juga penamatan awal PKPD Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Kudat, Sabah pada 11.59 malam ini berbanding yang dijadualkan tamat pada 3 Julai 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 8:37 PM