GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di tujuh kawasan di Sabah dan Pahang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang), Kinabatangan; Kampung Tuunon, Penampang; Kampung Perpaduan Ria 1, Kudat dan Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud berkuat kuasa 28 Jun sehingga 11 Julai.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes Covid-19 di Penjara Kepayan di mana mendapati berlaku peningkatan apabila sebanyak 18 kes positif dikesan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

"Di Kilang Sawit Bell pula sehingga kini, KKM melakukan 157 ujian saringan dan 29 daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini.

"Manakala di Kampung Tuunon, KKM mendapati berlaku peningkatan yang ketara apabila sebanyak lapan kes direkodkan selepas 10 penduduk menjalani ujian saringan di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismai Sabri berkata, di Kampung Perpaduan Ria 1 berlaku peningkatan apabila sebanyak sembilan kes direkodkan selepas 10 penduduk menjalani ujian saringan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Di Kampung Jawi-Jawi sehingga kini sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan ke atas 20 penghuni dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Di Pahang, PKPD membabitkan Tringkap, Cameron Highlands dan Bandar Jerantut berkuat kuasa 28 Jun sehingga 11 Julai," katanya.

Beliau berkata, KKM mendapati berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu apabila sebanyak 70 kes dikesan hasil saringan ke atas 592 penghuni di Tringkap.

"Sementara di Bandar Jerantut, dalam tempoh 15 hari sehingga hari ini, terdapat 186 kes positif Covid-19 dilaporkan selepas 421 penduduk menjalani ujian saringan.

"Dua lokaliti di Kampung Tawadakan dan Kampung Kota Bungan, Kota Belud juga disambung PKPD bermula 28 Jun sehingga 11 Julai," katanya.

Katanya, PKPD yang ditamatkan di Sabah pula adalah Kampung Indah, Nabawan; Kampung Manggis, Kuala Penyu, Kampung Baru (SFI), Sipitang, dua lokaliti di Tawau (Taman Kinabutan Ria dan Simpang Inderasabah) dan Kampung Sundang Laut, Sandakan bermula 11.59 malam esok.

"Di Pahang pula, PKPD Kampung Raja, Cameron Highlands turut ditamatkan bermula esok," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:09 PM