Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Sudah lama saya tak dengar suara dia memanggil 'ma' dan berharap panggilan itu akan didengari kembali suatu hari nanti," kata Rosliah Mohamad.

Rosliah, 49, dari Kampung Chicha, Kubang Kerian, di sini, berkata anaknya, Mohamad Edahan Yusof, 17, lumpuh dan terlantar sejak lima bulan lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami pendarahan di kepala dan turut merosakkan saraf tunjangnya.

Katanya, dia masih berharap anak keenam daripada tujuh beradik itu akan pulih kembali walaupun mengambil masa berdasarkan pandangan diberikan doktor.

"Saya sanggup menunggu berapa lama sekalipun asalkan Edahan pulih dan kembali mengenali saya berbanding keadaannya sekarang yang tiada respons jika dipanggil.

"Setiap hari selepas memberinya minum susu khas dan membuat fisioterapi dengan harapan dapat membantu proses pemulihannya," katanya.

Rosliah berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Info Semasa Kubang Kerian (ISKK), Mohamad Afandi Mohamad yang tampil menghulurkan sumbangan di rumahnya, baru-baru ini.

Ibu tunggal itu berkata, dia perlu bangun seawal 3 pagi untuk membuat pelbagai kuih-muih sebagai punca pendapatan keluarga.

"Setiap hari, antara enam hingga lapan jenis kuih akan saya hasilkan antaranya roti kukus, donat, seri ayu, roti goreng, cek mek, kasturi, cakoi termasuk laksam sebelum dihantar ke tiga gerai serta kedai kopi.

"Wang yang diperolehi sedikit sebanyak menampung kelangsungan hidup kami sembilan beranak kerana tiga anak yang bekerja pun mempunyai pendapatan tidak seberapa.

"Sekurang-kurangnya pendapatan saya boleh dijadikan tambahan untuk membeli susu khas dan lampin pakai buang Edahan walaupun menerima elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sejak dua bulan lalu," katanya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Rosliah di talian 018-2914011.

Rosliah  memberi susu khas kepada anaknya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rosliah memberi susu khas kepada anaknya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 6:28 PM