KEADAAN bas yang dipecahkan seorang lelaki sebelum ditahan pemandu yang juga bekas anggota tentera. FOTO ihsan polis
KEADAAN bas yang dipecahkan seorang lelaki sebelum ditahan pemandu yang juga bekas anggota tentera. FOTO ihsan polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tindakan seorang lelaki memecahkan cermin pintu bas dan cuba mencederakan pemandu di pondok hentian bas berhadapan Klinik Kesihatan Port Dickson, di sini, malam tadi, bukan saja gagal malah dia ditahan lelaki itu yang juga bekas tentera.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemandu bas berusia 58 tahun kira-kira 11 malam tadi.

"Pemandu bas itu memaklumkan seorang lelaki yang menunggang motosikal tiba-tiba berhenti di hadapan bas.

"Suspek kemudian mengambil sebilah parang di dalam bakul motosikal lalu memecahkan cermin pintu bas di sebelah kiri pemandu dan cuba mencederakan mangsa sehingga berlaku pergelutan," katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Katanya, pemandu bas itu berjaya merampas parang manakala suspek terduduk di dalam bas.

"Pemandu mengalami luka di jari tangan dan pipi manakala kerosakan pada bas dianggarkan kira-kira RM1,000.

"Pemandu bas itu adalah pesara tentera yang sudah berkhidmat selama 21 tahun selain mempunyai pengalaman ilmu mempertahankan diri, tempur tanpa senjata.

"Pemandu bas itu membawa suspek ke Balai Polis Port Dickson untuk diserahkan kepada polis," katanya.

Aidi Sham berkata, pemandu bas itu kemudian mendapatkan rawatan luar di Hospital Port Dickson.

"Suspek berusia 24 tahun dan hasil semakan mendapati dia mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing adalah negatif penggunaan dadah.

"Punca kejadian masih belum diketahui dan suspek berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat terhadap harta awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 4:32 PM