RINA (kiri) menyantuni Faridah dan cucunya serta menyampaikan sumbangan di rumah mereka di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
RINA (kiri) menyantuni Faridah dan cucunya serta menyampaikan sumbangan di rumah mereka di Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat kebajikan cucu dan saya sangat terharu kerana kerajaan juga mengambil berat kesulitan kami selepas anak tunggal saya serta menantu meninggal dunia akibat Covid-19," kata Faridah Md Shahar, 74.

Warga emas itu adalah nenek kepada lima beradik yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka, Nazita Idris, 45, dan Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia akibat wabak berkenaan, bulan lalu.

Faridah ditemui ketika menerima sumbangan yang disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun di rumahnya di Bandar Sunggala di sini, hari ini.

Menurutnya, dia menganggap sumbangan demi sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak sejak kisah mereka dilaporkan adalah rezeki khususnya buat cucu berusia tujuh hingga 23 tahun.

"Saya tak tahu nak cakap bagaimana kerana sangat terharu. Ini rezeki terutama buat cucu yang perlu menempuh kehidupan mereka di masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Rina berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak segera dengan menyalurkan bantuan persekolahan buat dua daripada lima beradik itu sebanyak RM300 sebulan.

Katanya, turut disampaikan, bantuan lain untuk meringankan beban mereka antaranya, tablet bagi kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan barangan dapur.

"Bukan mudah (terima hakikat) apabila tiba-tiba dalam tempoh seminggu, kedua orang tua maut akibat pandemik Covid-19 dan kami datang untuk meringankan beban mereka sekeluarga," katanya.

Berita berkaitan

Jangan pisahkan kami, biar susah senang kami bersama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 1:15 PM