GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa kerajaan melaksanakan pemberian moratorium pinjaman automatik tanpa faedah ke atas semua jenis pinjaman sehingga 31 Disember 2021.

Penolong Bendahari Armada, Syafiq Mohd Zin berkata, pemberian itu juga boleh dipertimbangkan sehingga negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata, bantuan berkenaan wajar juga diperluaskan merangkumi sektor Pinjaman Berlesen; Penjualan Secara Kredit bagi penggunaan kad kredit; pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia; Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau faedah; dan segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen Pihak Berkuasa Tempatan.

Syafiq memaklumkan gesaan itu dibuat susulan permintaan daripada masyarakat, selain ingin melihat Pelan Pemulihan Negara (PPN) mencapai matlamatnya.

"Armada berbesar hati dengan kenyataan daripada beberapa menteri baru-baru ini yang memberikan gambaran awal bahawa keprihatinan serta komitmen kerajaan untuk memperhalusi dan menambah baik pakej bantuan sedia ada, dengan dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tambahan demi menjayakan PPN.

"Kami menyambut seruan serta harapan sebilangan besar badan penggerak masyarakat yang bersungguh ingin melihat kejayaan PPN dalam membantu rakyat.

"Armada melalui Jabatan Bendahari amatlah berharap agar moratorium uutomatik ini dijayakan kerana mampu menjadi mercu keprihatinan kerajaan ke atas rakyat, dalam menyuntik kembali semangat mereka mendepani pandemik dan menjayakan inisiatif kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 11:30 AM