GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 123.1 pada Mei 2021 daripada 117.9 pada Mei 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan IHP keseluruhan ini disebabkan kesan asas yang rendah pada tahun lalu.

Beliau berkata, indeks pengangkutan mencatatkan pertumbuhan paling ketara sebanyak 26 peratus, diikuti perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (2.1 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (1.5 peratus).

Berdasarkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), katanya Indeks Harga Makanan global pada Mei 2021 berada pada paras 127.1, meningkat 39.7 peratus berbanding bulan sama tahun lalu dan 4.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Katanya kenaikan mendadak pada Mei 2021 didorong oleh kenaikan indeks minyak sayuran (124.5 peratus) ekoran daripada lonjakan permintaan terhadap biofuel, diikuti gula (57.3 peratus), bijirin (36.6 peratus), tenusu (28.0 peratus) dan daging (10.0 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata peningkatan indeks bijirin adalah kesan daripada kemarau di Amerika Selatan yang menjejaskan hasil tanaman jagung dan kacang soya serta kopi dan gula.

"Permintaan paling tinggi oleh China memburukkan lagi tekanan bekalan bijirin dan meningkatkan kos pengeluar ternakan global.

"Keadaan ini turut dicerminkan dengan peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di Malaysia. Namun begitu, kenaikan tahunan pada Mei 2021 adalah lebih rendah berbanding bulan sebelumnya iaitu 1.9 peratus (April 2021)," katanya.

Beliau berkata, momentum yang perlahan ini adalah kesan daripada pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 sepanjang Mei yang sedikit sebanyak telah meredakan tekanan inflasi bagi kumpulan itu.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata IHP tanpa bahan api meningkat 1.6 peratus pada Mei 2021 kepada 113.8 berbanding 112.0 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

"Daripada 552 item yang diliputi dalam IHP, 363 item menunjukkan peningkatan pada Mei 2021. Sebaliknya, 123 item mencatatkan penurunan manakala 66 item tidak berubah.

"Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 225 item, 57 item menurun dan 14 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama," katanya.

Lapan negeri iaitu Terengganu (6.2 peratus), Kelantan (5.6 peratus), Pahang (5.1 peratus), Kedah dan Perlis (4.8 peratus), Negeri Sembilan (4.7 peratus), Johor (4.6 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.5 peratus) dan Perak (4.5 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.4 peratus pada Mei 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Terengganu sebanyak 2.9 peratus, diikuti Kelantan (2.6 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.1 peratus), Pahang (1.9 peratus) dan Johor (1.6 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 5:25 PM