GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sidang Khas Parlimen dicadangkan pada awal Ogos depan bagi meminda Peraturan Mesyuarat supaya sidang Parlimen boleh diadakan secara hibrid.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama memaklumkan, ia mengambil kira jangkaan oleh Jawatankuasa Khas bahawa semua aspek perundangan dapat diselesaikan pada akhir Julai ini.

Menurut kenyataan itu, sidang khas terbabit bagi memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai.

"Antara perancangan adalah mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan Peraturan Mesyuarat, takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen dan perkara teknikal berkaitan.

"Sekiranya cadangan ini diterima kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen untuk memperolehi bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian, pentauliahan dan latihan kepada petugas serta ahli Parlimen," kata kenyataan itu.

Namun, katanya, sedikit tempoh diperlukan untuk persidangan hibrid diadakan kerana beberapa persiapan dari aspek perundangan, pentadbiran, teknikal, perolehan, bekalan dan latihan perlu diperkemaskan untuk memastikan kelancaran.

"Persiapan itu sudah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dan mendapat kerjasama amat baik.

"Mengambil kira perkara itu, persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan akhir Ogos atau awal September," katanya.

Kedua-dua Dewan mengambil inisiatif utama itu demi menjamin keutuhan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara sentiasa terpelihara dan beberapa perincian lain akan diumumkan selepas Jawatankuasa Teknikal selesai berurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 4:09 PM