RAKAMAN video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan penghantar makanan di Sungai Way, Petaling Jaya.
RAKAMAN video berdurasi 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan penghantar makanan di Sungai Way, Petaling Jaya.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Kertas siasatan kes pergaduhan membabitkan penghantar makanan dan pelanggan yang menyentuh sensitiviti agama di Sungai Way di sini, pada 11 Jun lalu, sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu lalu.

"Kertas siasatan bagi kedua-dua kes itu sudah lengkap.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan perkataan yang melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 147 kanun sama kerana menggunakan kekerasan dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang," katanya dihubungi hari ini.

Sebelum ini, enam individu membabitkan seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan polis kerana terbabit dalam pergaduhan.

Polis menerima laporan daripada seorang penghantar makanan berhubung tindakan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama.

Mereka kemudian direman untuk membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 30 saat yang memaparkan pergaduhan antara seorang pelanggan lelaki didakwa menggunakan nama menyentuh sensitiviti agama dan kumpulan penghantar makanan, tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:55 PM