Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Anggota polis yang tercedera selepas bergelut dengan suspek curi lori di Sungai Tiram, Bayan Lepas, di sini, hari ini, dilaporkan akan menjalani pembedahan.

Pembedahan dilakukan di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi merawat kecederaan di tangan kanannya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 31 tahun itu mempunyai dua rekod dadah dan satu rekod curi kenderaan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing suspek didapati negatif daripada pengambilan dadah.

"Suspek yang mengalami kecederaan turut dirawat di hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarul Rizal berkata, dalam kejadian pada jam 4 petang itu, anggota polis didatangi pemilik lori yang mendakwa kenderaannya yang diparkir di pasar raya di Bayan Baru, dilarikan seorang lelaki.

Katanya, sejurus mendapat maklumat, pasukan polis berjaya mengesan lori itu di lampu isyarat Kampung Jawa dan cuba menahan kenderaan terbabit.

"Suspek yang enggan berhenti melarikan kenderaan itu ke arah Bayan Lepas.

"Sebanyak empat MPV polis mengejar suspek sejauh 10 kilometer sebelum lori itu terbabas di hadapan stesen minyak di Sungai Tiram," katanya.

Kamarul Rizal berkata, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan polis ketika penahanan dibuat.

"Tindakan itu menyebabkan suspek dan seorang anggota polis mengalami kecederaan," katanya.

Berita berkaitan

Polis cedera bergelut dengan pencuri lori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:16 PM