Norzamira Che Noh


Shah Alam: Penduduk sekitar Shah Alam dikejutkan dengan bau busuk dari ratusan bangkai ikan yang timbul di permukaan Sungai Damansara berdekatan Seksyen 13 di sini, sejak awal pagi tadi.

Salah seorang penduduk mahu dikenali sebagai Muhammad memaklumkan, dia menyedari kejadian itu sekitar jam 8.30 pagi ketika hadir ke pejabatnya terletak bersebelahan dengan sungai itu.

"Saya terkejut melihat banyak bangkai ikan timbul. Bagaimanapun saya dimaklumkan ada yang melihat bangkai ikan itu timbul lebih awal," katanya ketika dihubungi wartawan.

Sementara itu salah seorang penduduk sebuah kondominium berdekatan sungai itu turut terkejut apabila melihat banyak bangkai ikan dari atas balkoni kediaman dihuni.

BAU busuk dari ratusan bangkai ikan yang timbul di permukaan Sungai Damansara, Shah Alam sejak awal pagi tadi. FOTO Faiz Anuar
BAU busuk dari ratusan bangkai ikan yang timbul di permukaan Sungai Damansara, Shah Alam sejak awal pagi tadi. FOTO Faiz Anuar

"Saya tidak pasti bila bangkai ikan itu mula timbul namun jumlahnya semakin banyak petang tadi. Malah terdapat lapisan seakan minyak di permukaan sungai itu.

"Semua bangkai ikan berkenaan dilihat dibawa arus sungai berkenaan ke bahagian hilir sungai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.

"Kami menerima panggilan mengenai insiden terbabit sekitar jam 2 petang tadi. Pasukan pemantauan sudah bergerak ke lokasi untuk mengenalpasti punca kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:35 PM