GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,897 kertas siasatan dibuka membabitkan penyebaran berita palsu atau hasutan di media sosial sejak Januari 2019 hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan dijalankan selari dengan peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

"Sebanyak 1,897 kertas siasatan dibuka membabitkan kes menyentuh Institusi Diraja (185), Perkauman (112), penghinaan agama (168), kes berkaitan kerajaan (248) dan 1,184 kes membabitkan individu serta agensi.

"Sehingga kini, 844 kes berjaya diselesaikan manakala baki 1,053 kes masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abd Jalil berkata, siasatan yang membabitkan penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 adalah sebanyak 254 kes direkodkan dari tempoh 18 Mac tahun lalu sehingga Ahad lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 109 kes berjaya diselesaikan manakala 145 kes masih dalam siasatan.

"Polis menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyalurkan berita atau informasi yang tidak dipastikan kesahihannya," katanya.

Katanya, sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau berita yang boleh menyebabkan kegentaran awam di media sosial boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:19 PM