GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 kembali meningkat apabila mencatatkan 5,244 kes hari ini dengan 83 kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 711,006.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor merekodkan kes harian tertinggi dengan 2,001 kes diikuti Negeri Sembilan dengan 677 kes dan Sarawak (577).

"Selain itu, Kuala Lumpur (531), Johor (282), Pahang (245) dan Kedah (189). Perlis mencatatkan pertambahan kes satu digit, iaitu satu kes.

"Sebanyak 6,372 kes sembuh dilaporkan hari ini iaitu mengatasi kes positif dan menjadikan keseluruhan kes sembuh 645,553 kes," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 879 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana daripada jumlah itu, 433 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 83 kes kematian dilaporkan pada hari ini yang membabitkan 35 kes di Selangor, sembilan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lapan kes di Johor, masing-masing tujuh kes di Sabah dan Negeri Sembilan.

"Selain itu Kelantan turut mencatatkan enam kematian, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, dua kes di Perak, serta satu kes di Kedah, Melaka, dan Perlis," katanya.

Menurutnya, sebanyak 24 kluster baharu turut dilaporkan menjadikan keseluruhan kluster aktif adalah 851 kluster.

"Jumlah kluster yang direkodkan sehingga kini adalah 2,690 kluster dan 1,839 sudah dilaporkan tamat.

"KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:09 PM