ANGGOTA polis meninjau pematuhan SOP di pusat jagaan warga emas ketika pelaksanaan PKP 3.0. FOTO Saifullizan Tamadi
ANGGOTA polis meninjau pematuhan SOP di pusat jagaan warga emas ketika pelaksanaan PKP 3.0. FOTO Saifullizan Tamadi
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis memuji inisiatif pengurusan sebuah pusat jagaan warga emas di Jalan Pudu, di sini, yang tidak membenarkan lawatan ahli keluarga bagi mengelakkan penularan Covid-19 di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan pusat jagaan itu bahawa semua lawatan sosial tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan.

"Malah, pihak pengurusan pusat jagaan ini juga mengambil pendekatan membenarkan ahli keluarga berkomunikasi dengan penghuni secara dalam talian.

"Inisiatif yang diambil pihak pengurusan pusat jagaan ini adalah baik bagi mengurangkan pergerakan dalam kalangan penghuni selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pusat jagaan berkenaan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap pusat jagaan terbabit selepas dimaklumkan premis berkenaan merekodkan 22 kes positif Covid-19 pada bulan lalu.

"Pemeriksaan membabitkan pusat jagaan ini adalah kali pertama dilakukan di daerah ini susulan kes positif yang direkodkan di premis berkenaan yang turut mencetuskan satu kluster.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami amat berpuas hati dengan pematuhan SOP di pusat jagaan ini dengan ada penambahbaikan dilakukan atas inisiatif pihak pengurusan," katanya.

Katanya, pihak pengurusan pusat jagaan itu memaklumkan lebih 100 kakitangan serta 142 penghuni dengan kebanyakannya berusia 70 tahun ke atas akan mula menerima suntikan vaksin secara berperingkat bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:59 PM