PETUGAS Jabatan Kesihatan mengambil sampel ujian COVID-19. FOTO Bernama
PETUGAS Jabatan Kesihatan mengambil sampel ujian COVID-19. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di satu lokaliti di Kelantan dan dua di Sabah bermula Jumaat ini sehingga 8 Julai.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Kelantan membabitkan Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan ke atas 63 orang penduduk di lokaliti itu dan 41 daripadanya dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 65 peratus.

"Pada masa sama, KKM mendapati kes meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Sabah pula membabitkan Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud dan Kampung Kukut, Beaufort.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 10 kes positif Covid-19 dilaporkan di Kampung Tambulion manakala Kampung Kukut melaporkan 18 kes.

Berikutan itu, katanya, pelaksanaan PKPD berkenaan memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar ke lokaliti lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua PKPD di Kampung Likas, Kota Kinabalu dan Lima Sub-zon Labuan masing-masing dilanjutkan bermula esok dan Jumaat ini berikutan masih terdapat penularan jangkitan di lokaliti berkenaan.

Katanya, beberapa kawasan PKPD ditamatkan iaitu Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu; Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di Kelantan; FELDA Jengka 7, Maran, Pahang; FELDA Inas, Kulai, Johor dan Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, Sarawak.

Selebihnya di Sabah iaitu PKPD Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Kudat; Taman Wawasan, Beaufort; Perumahan Kilang, Ladang Ong Yah Ho, Kinabatangan;Lorong Pasir Putih, Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:25 PM