WANITA yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia kerana disyaki pelacur di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras, semalam. FOTO ihsan JIM
WANITA yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia kerana disyaki pelacur di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras, semalam. FOTO ihsan JIM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 15 wanita warga asing dipercayai terbabit dengan aktiviti pelacuran di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras, semalam.

Dalam serbuan pada jam 7 malam itu, tujuh lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'kapten' dan penyelia hotel turut ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiķet itu menjalankan aktiviti dari satu hotel ke hotel yang lain setiap dua minggu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan di premis terbabit, pegawai operasi menahan seramai 15 wanita yang terdiri daripada 11 wanita Thailand, tiga wanita Vietnam dan seorang wanita Indonesia berusia 19 hingga 34 tahun.

"Aktiviti pelacuran ini dijalankan di tingkat tiga hotel berkenaan dan bilik didaftar menggunakan nama warga tempatan yang disyaki bertindak sebagai penjaga bagi wanita itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket hanya membenarkan pelanggan yang dikenali melanggan khidmat pelacuran bagi mengelakkan aktiviti dihidu pihak penguat kuasa.

"Kegiatan itu juga dijalankan atas pengetahuan pihak pengurusan hotel sendiri. Perkhidmatan seks ditawarkan dengan harga dari RM230 hingga RM500 selama 45 minit. Separuh daripada bayaran akan diambil oleh majikan dan selebihnya adalah 'tips' untuk wanita warga asing bagi setiap pelanggan.

"Pelanggan terlebih dulu akan memilih wanita berkenaan menerusi aplikasi Wechat, Telegram dan Link. Bayaran perlu dilakukan kepada penjaga atau penyelia hotel sebelum diberikan nombor bilik wanita yang ditempah," katanya.

Menurutnya, tiga pelanggan dan pekerja hotel yang berada di lokasi diberikan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Semua tahanan akan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:21 PM