Anggota APM Perlis meninjau kemusnahan yang berlaku di rumah Sabri Hussin dalam kejadian angin kencang di Kampung Berembang, Simpang Empat hari ini. IHSAN APM PERLIS
Anggota APM Perlis meninjau kemusnahan yang berlaku di rumah Sabri Hussin dalam kejadian angin kencang di Kampung Berembang, Simpang Empat hari ini. IHSAN APM PERLIS
Aizat Sharif


Kangar: "Saya dikejutkan dengan jeritan ketakutan isteri," kata Sabri Hussin, 69, mangsa kejadian ribut di Kampung Berembang, Simpang Empat di sini, hari ini.

Menurutnya, dia ketika itu berada di dalam bilik, manakala isterinya pula di ruang tamu.

Katanya, isterinya menjerit beritahu bumbung rumah sudah diterbangkan angin.

"Saya bergegas keluar bilik dan melihat bumbung rumah saya sudah pun hilang," katanya.

Dalam kejadian pada 10 pagi itu, rumahnya yang didiami tiga beranak rosak tetapi tiada kecederaan dialami keluarga terbabit.

Menurutnya, kejadian berkenaan adalah yang pertama kali berlaku kepada dirinya namun dia tetap bersyukur bahawa mereka sekeluarga terselamat.

"Saya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini dan kami semua selamat.

"Buat masa ini, kami belum lagi menilai jumlah kerugian yang dialami namun kami berterima kasih dengan tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Empat Nurulhisham Yaakob yang segera 'turun padang' meninjau lokasi kejadian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:08 PM