Penerima vaksin menunggu untuk menerima vaksin di PPV Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Penerima vaksin menunggu untuk menerima vaksin di PPV Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
BERNAMA

Muar: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar operasi pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Pagoh di sini, dipindahkan ke Kompleks Sukan Pagoh bagi memberi keselesaan kepada masyarakat yang datang mendapatkan suntikan vaksin mereka.

Cadangan itu disuarakan Perdana Menteri kepada Pegawai Kesihatan Muar Dr Noorhaida Ujang ketika meninjau operasi pemberian suntikan vaksin dan kemudahan yang disediakan di PPV berkenaan, di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mahu usaha itu dilakukan kerana melihat kemudahan di kompleks terbabit lebih lengkap, antaranya mempunyai kawasan letak kenderaan yang lebih luas dan dilengkapi pendingin hawa.

"Kompleks di sana juga lebih luas, ada padang dan ruangan yang lebih selesa, jadi Perdana Menteri cadangkan untuk pindah.

"Saya pun bersetuju dengan cadangan beliau, cuma perlu ambil sedikit masa untuk menyelesaikan urusan pentadbiran kerana kompleks itu di bawah seliaan Majlis Sukan Negara. Kita perlu bincang dengan pengurusan mereka," kata Dr Noorhaida kepada Bernama ketika ditemui selepas lawatan Perdana Menteri berkenaan.

PPV Dewan Serbaguna Pagoh yang mula beroperasi pada 6 Jun lalu adalah PPV (bukan kesihatan) kedua di daerah Muar selepas Dewan Maharani dan berupaya memberikan hingga 700 suntikan sehari melalui pembabitan 50 petugas daripada pelbagai agensi kerajaan dan 20 sukarelawan.

Berdasarkan Laporan Vaksinasi Covid-19 Negeri Johor, setakat Ahad lalu (20 Jun), Muar telah merekodkan 35,490 penerima vaksin dos pertama, manakala 15,719 orang sudah melengkapkan kedua-dua dos.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:01 PM