GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sentul Jaya di sini, petang semalam.

Kesemua mereka itu berusia lingkungan antara 18 hingga 24 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pemeriksaan di kediaman itu kemudian menemui sejumlah dadah yang sudah dipek di atas lantai yang dianggarkan bernilai RM10,000.

"Terdapat satu plastik yang mengandungi 27 paket plastik kecil dipercayai berisi dadah jenis methamphetamine seberat 52.01 gram(g) bernilai RM5,201.

"Selain itu, polis juga menjumpai satu paket plastik lain mengandungi 19 paket plastik berisi kanabis (ganja) seberat 101.3 gram yang dianggarkan bernilai sekitar RM5,065," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, siasatan lanjut mendapati hanya dua daripada empat yang ditahan mempunyai rekod lampau.

"Seorang daripadanya memiliki satu rekod jenayah, manakala seorang lagi pula memiliki tiga rekod berkaitan dadah dan satu rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:51 PM