Durian yang dijual Shamsul di Jalan Tanjung Tokong di sini, terjual sehingga 500 biji sehari meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Durian yang dijual Shamsul di Jalan Tanjung Tokong di sini, terjual sehingga 500 biji sehari meskipun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Tak semua durian dijual pada harga 'kayangan', yang mahal kerana ia durian berjenama seperti musang king, duri hitam, udang merah dan lain-lain lagi." kata pemilik penjual durian, Shamsul Abdul Aziz, 34, susulan dakwaan orang ramai mengenai durian yang dijual pada harga tidak masuk akal.

Menurutnya, orang ramai boleh membeli durian kampung yang dijual pada harga serendah RM7 atau durian kahwin berharga RM13 bagi setiap sekilogram.

"Pada masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, durian Balik Pulau memang mendapat permintaan berikutan keenakannya walaupun dijual pada harga tinggi.

"Ramai tidak tahu kebanyakan gerai di negeri ini hanya menjual durian yang berjenama dan sudah tentulah ia dijual pada harga mengikut grednya," katanya yang menjual kira-kira 500 durian sehari di gerainya di Jalan Tanjung Tokong di sini.

Bagi peniaga durian, Ang Khoon Hee, 46, berkata, durian berjenama seperti musang king pada musim kali ini dijual pada harga RM70 berbanding RM90 sekilogram pada musim lalu.

Menurutnya, duri hitam pula dijual pada harga RM95 sekilogram, manakala udang merah, labu dan tekka dijual pada harga RM45 sekilogram.

Katanya, bagi durian bersaiz kecil di gerai berkenaan pula dijual pada harga RM18 sekilogram.

"Musim kali ini durian kurang menjadi, ada jenama tertentu yang harganya terpaksa dinaikkan dan ada pula perlu turunkan harga.

"Bagi peniaga seperti saya yang tidak mempunyai dusun, kami membeli buah daripada peniaga lain dan sudah tentu harganya tidak sama ," katanya ketika ditemui di Jalan Anson di sini.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N V Subbarow berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung harga durian di pasaran yang terlalu tinggi.

Menurutnya, peniaga seolah-olah menetapkan harga sendiri tanpa mengasihani pengguna yang perlu membayar mahal.

"Justeru, CAP menggesa supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan terhadap harga durian di pasaran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:03 PM