RAKAMAN MPV polis mengejar kereta suspek di kawasan sawah. FOTO tular
RAKAMAN MPV polis mengejar kereta suspek di kawasan sawah. FOTO tular
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Empat kereta unit peronda (MPV) polis bertindak mengejar sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki di kawasan Penaga, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, polis menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum ternampak Proton Saga dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota menahan kereta itu namun pemandunya enggan berhenti dan melarikan diri.

"Menyedari kejadian itu, anggota kemudian meminta bantuan daripada tiga unit MPV yang lain dan mengejar kereta terbabit dari Jalan Bakau Tua melalui Jalan Rantau Panjang hingga ke Kota Aur, Penaga sebelum berjaya menahan suspek.

"Polis menahan seorang suspek berusia 47 tahun manakala rakannya meloloskan diri sebaik kenderaan yang dinaiki mereka berhenti dan usaha memburunya kini giat dijalankan.

"Hasil pemeriksaan polis ke atas kenderaan dinaiki suspek menjumpai dua tiub penyedut minuman yang di dalamnya dipercayai mengandungi heroin dan methamphetamin," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang ditahan juga positif dadah.

"Semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.

"Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Terdahulu, tular rakaman MPV polis mengejar suspek di kawasan sawah padi yang dirakamkan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 5:00 PM