Mior Faridalathrash Wahid (tengah) ketika sidang media di IPD Taiping. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Mior Faridalathrash Wahid (tengah) ketika sidang media di IPD Taiping. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah kilang sarung tangan di sini, yang membenarkan beberapa pekerjanya yang berstatus suspek atau berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 memasuki dan bekerja di premisnya mengundang padah apabila dikompaun pihak berkuasa.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kilang terbabit antara tiga premis di daerah itu yang dikenakan kompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, dalam operasi bersepadu yang membabitkan pelbagai agensi di daerah itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan di enam kilang dan mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM50,000.

"Kita buat pemeriksaan di tiga kilang sarung tangan, dua kilang sardin dan sebuah kilang barangan peralatan hospital.

"Polis mengeluarkan kompaun atas pelbagai kesalahan terhadap dua kilang sarung tangan dan kilang barangan peralatan hospital.

"Kilang sarung tangan yang dikompaun juga diarahkan tutup selama seminggu bermula hari ini kerana dikesan beroperasi dengan kapasiti pekerja iaitu sebanyak 75 peratus.

"Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan adalah gagal mengimbas kod QR MySejahtera dan gagal menjalankan sanitasi sebanyak tiga kali sehari," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga membuat pemeriksaan terhadap kilang di Manjung dan Hilir Perak.

Katanya, bermula 1 Jun sehingga semalam, sebanyak 4,685 kilang diperiksa dan sebanyak 28 kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 4:02 PM