Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang kerani pemasaran di sebuah syarikat swasta berputih mata selepas kerugian RM713,450 akibat diperdaya pelaburan mata wang asing palsu melalui satu aplikasi dalam kejadian di Kampung Paya, Port Dickson, di sini, 19 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, wanita berusia 39 tahun itu dipercayai mengetahui mengenai pelaburan saham mata wang asing tersebut setelah diperkenalkan oleh kenalan lamanya sejak 2017.

Bagaimanapun, dia berkata, mangsa baharu sahaja menyertai pelaburan berkenaan pada tahun lalu.

"Mangsa telah memuat naik satu aplikasi untuk tujuan pelaburan ini dan semua urusan adalah melalui aplikasi dan laman sesawang tersebut.

"Mangsa dipercayai telah mula membuat pelaburan ini dalam nilai USD sejak Januari tahun lalu dan telah pun mendapat keuntungan beberapa kali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, bermula April lalu, mangsa menyedari bahawa tiada sebarang keuntungan diperoleh dan kemudiannya membuat laporan polis kerana rasa diperdaya, katanya.

Katanya, dalam tempoh April hingga Jun tahun ini, wanita berkenaan telah membuat 45 kali transaksi ke dalam 21 akaun individu dan satu akaun sebuah syarikat.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi dalam laman sosial atau aplikasi selain menyemak sama ada pelaburan itu diiktiraf atau tidak menerusi Bank Negara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 2:39 PM