Mohamed Farid Noh

Tangkak: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba supaya meminta pembekal menghantar bekalan vaksin dengan segera.

Katanya, kerajaan sudah membeli dan membayar bekalan vaksin Covid- 19 bagi menampung keperluan rakyat di negara ini, namun masih belum menerima bekalan itu.

Menurutnya, beliau sudah meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di beberapa lokasi yang dibuka dan mendapati ia diuruskan dengan baik, namun menghadapi masalah bekalan vaksin yang tidak mencukupi dan perlu ditambah.

MUHYIDDIN meninjau PPV Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MUHYIDDIN meninjau PPV Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Beberapa PPV juga bersedia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin namun tidak dapat berbuat demikian kerana jumlah vaksin yang tidak cukup.

"Kerajaan sudah beli dan bayar namun bekalan vaksin yang di tempah itu belum sampai apatah lagi seluruh dunia sekarang perlukan vaksin.

"Saya sudah arahkan menteri bertanggungjawab supaya minta pembekal dapat membekalkan vaksin dalam tempoh lebih cepat.

"Jika pengilang sudah keluarkan lebih banyak vaksin, kerajaan harap bekalan vaksin lebih banyak akan dihantar ke negara ini dengan segera," katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:21 PM