GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seorang wanita mengalami masalah tekanan perasaan ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah apartmen di Cheras, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Pusat Kawalan Polis Daerah Cheras menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.34 petang daripada lelaki memaklumkan ada kematian di kawasan itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia 56 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai tingkat satu ruang penyidai pakaian.

"Pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Hasil soal siasat dengan suaminya mendapati mangsa ada menerima rawatan sakit mental di sebuah klinik pakar yang terletak di kawasan Alam Damai, Cheras Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Muhammad Idzam berkata, kejadian disyaki berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami mangsa sejak Januari lalu.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 12:02 AM