PENDUDUK sekitar Gombak melakukan ujian saringan covid 19 secara percuma di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, Selangor. FOTO ROHANIS SHUKRI
PENDUDUK sekitar Gombak melakukan ujian saringan covid 19 secara percuma di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, Selangor. FOTO ROHANIS SHUKRI
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kes sporadik dan kes tidak bergejala Covid-19 dilihat terus meningkat di Lembah Klang walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)3.0 bermula 1 Jun lalu memasuki minggu ketiga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes harian Covid-19 dilihat masih berada pada paras yang tinggi melebihi 4,000 kes sehari malah kes sporadik juga masih berada pada peratusan yang agak tinggi.

Menurutnya, Minggu Epidemiologi (ME) dari 1 Januari lalu hingga kelmarin, Malaysia merekodkan sebanyak 578,105 kes Covid-19.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 398,846 kes (69.0 peratus) adalah kes sporadik di mana negeri tertinggi yang melaporkan kes ini adalah Selangor dengan 151,725 kes (38.0 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes (11.2 peratus) dan diikuti oleh negeri Sarawak sebanyak 40,889 kes (10.3 peratus).

"Kes sporadik bermaksud kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

"Kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun dari saringan kes bergejala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik itu tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dengan betul.

"Lembah Klang adalah sebuah kawasan yang terdiri daripada Kuala Lumpur dan pinggir bandarnya, serta meliputi kawasan bandar dan bandaraya di negeri Selangor.

"Pada ME ke-24, Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia iaitu tiga daerah tertinggi adalah Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat dengan 2,783 kes, dan Daerah Klang dengan 2,482 kes.

"Walaupun PKP 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei lalu (ME ke-19) dilihat berjaya mengawal peningkatan kes kluster pada ME ke-24, namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara," katanya.

Beliau berkata, implikasi itu disebabkan, kawasan Lembah Klang yang sememangnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan dari kes Covid-19 ini tidak mempunyai gejala.

"Dengan erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai Covid-19 dalam kalangan kita.

"Oleh itu adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya Covid-19," katanya.

Sehubungan itu, katanya, KKM menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP dan mengamalkan Tindakan Kesihatan Awam Kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes sporadik dan kes Covid-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 8:22 PM