MOHD Fazil menyerahkan surat permohonan kepada Dr Rozaimah di Bandar Baharu, Kedah.
MOHD Fazil menyerahkan surat permohonan kepada Dr Rozaimah di Bandar Baharu, Kedah.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kira-kira 500 peniaga dan penjaja kecil di daerah Kulim Bandar Baharu memohon pihak berwajib menyegerakan suntikan vaksin kepada mereka.

Ini kerana sebahagian besar daripada mereka masih berniaga dan perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari.

Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Negeri Kedah Cawangan Bandar Baharu Azlinda Mat Ali berkata, mereka berharap supaya dapat diberi suntikan segera bagi membolehkan mereka meneruskan rutin hidup seperti biasa.

"Ia penting untuk kami menjalankan perniagaan tanpa rasa bimbang. Selain itu kami juga dapat bersama-sama membantu menghentikan penularan pandemik ini," katanya.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Kulim Bandar Baharu mengambil insiatif untuk membawa isu terbabit kepada Pejabat Kesihatan Daerah Bandar Baharu, hari ini.

Ketuanya, Mohd Fazil Amir Hamzah berkata, pihaknya terpanggil untuk membawa isu berkenaan memandangkan jumlah peniaga yang ramai selain tidak mahu urusan perniagaan mereka tergendala.

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada peniaga yang bimbang dengan keselamatan dan kesihatan mereka terutama ketika berurusan dengan pelanggan setiap hari.

"Dengan adanya vaksin itu kelak, mereka bukan saja dapat membantu usaha mewujudkan komuniti kelompok seperti disasarkan, malah dapat menghindari daripada risiko jangkitan.

"Berdasarkan semakan, mereka ini sudah pun mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sejak Februari lalu, namun masih belum dipanggil untuk menerima suntikan," katanya.

Mohd Fazil berkata, surat permohonan berkenaan diserahkan kepada Pegawai Kesihatan Daerah Bandar Baharu Dr Rozaimah Abu Talib.

Menurutnya, pihaknya juga menyediakan platform bagi membolehkan orang ramai khususnya mereka yang berdepan masalah menerima suntikan untuk membuat aduan.

"Orang ramai di daerah ini boleh mengemukakan permasalahan mereka menerusi Facebook Pemuda Umno Kulim Bandar Baharu, Insya-Allah, kami akan membantu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 4:13 PM