Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang menyumbang 2.5 tan pisang nangka dan labu manis untuk makanan 32 gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, di sini, semalam.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kali pertama itu bagi menyokong PKGK yang terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Pengarah Fama Pahang, Noh Nik Wan berkata, sumbangan itu membabitkan sebanyak 1.5 tan labu manis dan satu tan pisang nangka kepada 32 gajah di PKGK Kuala Gandah.

Katanya, minggu lalu Fama menyumbang lebih dua tan pisang, nanas, keledek dan labu manis kepada empat individu yang terbabit dengan pembiakbakaan landak raya, rusa dan pelanduk di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Temerloh, Pekan, Lipis dan Bentong.

"Program ini memberi kebaikan kepada penerima dan lebih penting dapat membantu mengelak berlakunya lambakan hasil pertanian apabila pekebun tidak dapat memasarkan keluaran mereka.

CHE Ghani menyerahkan sumbangan buah-buahan dan sayuran kepada Dr Sharifah Azizah di PKRC UiTM Chendering. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
CHE Ghani menyerahkan sumbangan buah-buahan dan sayuran kepada Dr Sharifah Azizah di PKRC UiTM Chendering. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

"Dalam keadaan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kita turut dapat membantu komuniti yang terkesan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Fama Pahang diketuai Ketua Cawangan Komunikasi Korporatnya, Mejar Rosli Zakaria menyumbang 2.5 tan pisang nangka dan labu manis kepada PKGK Kuala Gandah.

Hadir sama, Pengurus Pusat Khidmat Pemasaran Fama Kuantan, Faris Abdullah yang bertanggungjawab menyediakan bantuan berkenaan.

Noh berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban perbelanjaan menyediakan makanan kepada 32 gajah terutama apabila pusat pelancongan itu ditutup sementara berikutan PKP 3.0.

Sementara itu, Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pihaknya memperuntukkan perbelanjaan RM1 juta setahun bagi menyediakan makanan untuk 32 gajah di PKGK Kuala Gandah.

"Saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi membantu menyediakan buah-buahan untuk makanan gajah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 10:20 AM