FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Baharom Bakar


Marang: Geran pembangunan RM20,000 ditawarkan kepada kampung yang berjaya mencapai peratusan pendaftaran vaksinasi penduduk sehingga 80 peratus sebelum akhir Ogos depan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, lima kampung yang berjaya mencapai peratusan pendaftaran vaksinasi penduduk sehingga 80 peratus dipilih untuk menerima geran pembangunan keseluruhan bernilai RM100,000.

Katanya, insentif kepada kampung di kawasan wilayah Ketengah itu ditawarkan bagi membantu kerajaan dalam usaha mencapai sasaran penduduk 80 peratus berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Setakat ini, hanya 54.1 peratus atau 437,373 penduduk di seluruh negeri berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19," katanya.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 115,867 atau 14.33 peratus sudah mendapat suntikan vaksin.

"Kita juga bersetuju menyalurkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM18,200 kepada 91 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan wilayah bagi membantu urusan pentadbiran mempercepat proses pendaftaran vaksin," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) daerah Marang di Dewan Utama Majlis daerah Marang (MDM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Ketengah menubuhkan pasukan petugas Stay Safe-Ketengah Region (S-Reg) bagi menggerakkan program vaksinasi penduduk kawasan wilayah di daerah Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.

Katanya, S-Reg di bawah program Ketengah Ambik Cakne dianggotai 200 orang sukarelawan yang ditugaskan untuk mengemaskini data dan laporan status pendaftaran vaksin penduduk di kawasan wilayah.

"Anggota sukarelawan itu akan turun ke seluruh kampung dalam kawasan wilayah bagi membantu proses pendaftaran terutama penduduk yang menghadapi kekangan untuk mendaftar secara maya.

"S-Reg juga akan bertindak menyelaras pembukaan PPV dalam kawasan wilayah dengan membantu melaksanakan persiapan tempat dan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada penduduk yang memerlukan ke lokasi PPV," katanya yang mengesahkan anggota sukarelawan itu akan dibayar elaun antara RM80 dan RM100 sehari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:30 AM