GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih, Putatan dan Grace Villa Condo, Sembulan, Kota Kinabalu di Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD itu berkuat kuasa 20 Jun sehingga 3 Julai ini.

Katanya, PPRT Kampung Pasir Putih perlu menjalani perintah itu selepas sembilan kes positif Covid-19 dikesan dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Untuk Grace Villa Condo pula, sejak 13 Jun sehingga 16 Jun lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes Covid-19 apabila lapan kes dikesan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Pelaksanaan PKPD untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti wabak kekal berada dalam kawasan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut melaksanakan PKPD di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan berkuat kuasa bagi tempoh sama.

"KKM hari ini melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di lokaliti itu. Sehingga kini, seramai 90 penduduk disaring dan 16 daripadanya dilaporkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 17.8 peratus.

"KKM juga mendapati penularan kes berlaku dengan pantas dalam tempoh seminggu dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju PKPD dilaksana di Taman Sri Purnama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 7:38 PM