MOHAMED Azmin (kanan) meninjau PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di Taman Mount Austin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MOHAMED Azmin (kanan) meninjau PPV PIKAS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di Taman Mount Austin. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid-19 Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) kedua di negeri ini, mula beroperasi 28 Jun ini.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PPV PIKAS kedua di Johor itu dibuka di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC) di Taman Mount Austin di sini.

Katanya, tinjuan beliau ke PPV PIKAS AICC mendapati ia bukan sahaja memenuhi kriteria ditetapkan kerajaan malah sudah bersedia dibuka kepada pekerja industri dan orang awam.

"PPV PIKAS AICC mempunyai 60 bilik suntikan vaksin selain beberapa bilik sakit mampu menampung kapasiti antara 4,000 hingga 4,500 penerima vaksin sehari.

"Namun buat permulaan apabila dibuka nanti, PPV ini akan menyuntik kira-kira 1,500 penerima vaksin sehari sebelum ia ditingkatkan kepada 4,500 penerima," katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV PIKAS AICC di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan PPV PIKAS yang memfokuskan pemberian vaksin kepada pekerja kilang akan membantu menurunkan kes harian Covid-19, di negara ini.

Katanya, kementeriannya memfokuskan kepada pembukaan PPV PIKAS di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak dahulu sebelum ia dibuka di negeri lain.

"Ini kerana empat negeri ini mempunyai sektor pembuatan dan perkilangan yang besar dan kita mahu lebih usaha digerakkan dalam mengawal penularan Covid-19 di negeri berkenaan yang mempunyai jumlah kes harian tinggi.

"Inisiatif PIKAS ini adalah untuk perlindungan dan jaminan kesihatan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan negara yang menjadi nadi penting sektor ekonomi.

"Jika mereka dapat perlindungan vaksin dengan segera maka kes penularan Covid-19 negara dapat dikekang dan diturunkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 4:32 PM