BENIH padi tidak sah yang dirampas KPB dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini. FOTO ihsan Mafi
BENIH padi tidak sah yang dirampas KPB dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini. FOTO ihsan Mafi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sindiket benih padi tidak sah dikesan menjadikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebagai peluang menjalankan kegiatan mereka.

Terbaru, Bahagian Penguat Kuasa Kawal Selia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Kelantan merampas 68 kampit benih berkenaan dalam dua operasi berasingan.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Azman Mahmood berkata, kegiatan itu dikesan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti penjualan benih padi ketika PKP.

Katanya, dalam serbuan pertama, pihaknya merampas 40 kampit benih padi tidak sah di Kampung Alor Pasir, Pasir Mas yang dianggarkan bernilai RM1,520.

Azman berkata, ia dijual di sebuah premis dengan harga RM38 sekampit melebihi dari harga ditetapkan pihak berkuasa untuk benih sah.

"Ia adalah satu kesalahan di bawah Perkara 2 Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pembeli Padi) 1996.

"Kita memandang serius isu ini kerana mereka seolah-olah menjadikan PKP sebagai peluang untuk meneruskan kegiatan terbabit, namun penguat kuasa kita memantau aktiviti mereka," katanya kepada Harian Metro.

Dalam serbuan kedua, sebanyak 28 kampit benih padi tidak sah dirampas dalam satu pemeriksaan di Jalan Kuala Krai, Machang bernilai RM980.

"Saya ingin tegaskan, kita akan teruskan pemantauan dan risikan bagi membanteras kegiatan seperti ini dan meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan," katanya.

Beliau berkata, semua benih itu disita dan dibawa ke pejabat KPB Kelantan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 11:13 AM