GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hamzah Osman


Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) mensasarkan untuk menarik 800,000 pelancong ke Langkawi pada suku ketiga tahun ini menerusi Pelan Pemulihan Pelancongan (PPP) yang baharu digubal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, angka itu akan lebih cepat dicapai menerusi gelembung pelancongan domestik yang dijangka dibuka semula pada September ini.

"Kira-kira 296,000 pelancong melawat Langkawi pada suku pertama tahun ini dan sasaran kita seterusnya ialah kemasukan purata 200,000 pelancong sebulan sepanjang suku keempat.

"Menerusi PPP, kita akan berusaha membantu pemain industri pelancongan supaya mereka kembali bernafas dan bersedia menyambut pelancong," katanya pada sidang media di sini, hari ini

Terdahulu, beliau mengetuai program agihan Bakul Prihatin Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada pemandu teksi di pekarangan Kompleks Lada di sini.

Bagi mencapai sasaran pelancongan dalam PPP, katanya, pulau itu perlu memiliki imuniti kelompok dan status zon hijau Covid-19 sebelum September.

"Ini kerana, pemain industri pelancongan di Langkawi berharap supaya gelembung pelancongan domestik dibuka semula pada tarikh itu," katanya.

Mengulas program CSR oleh Lada pula, beliau berkata, pihaknya memperuntukkan RM30,000 bagi membantu komuniti yang terjejas akibat Covid-19.

"Sehingga kini, sumbangan ini membantu 270 pengusaha sektor pelancongan yang kehilangan pekerjaan tetap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:21 PM