Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang tukang kayu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak dan melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk remaja perempuan berusia 13 tahun.

Syed Hassan Husaini Syed Muhamad Saufi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak telefon bimbit jenis Vivo milik mangsa di tangga sebuah rumah flat di daerah ini jam 5 petang pada 5 Jun lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk mangsa dari arah belakang di alamat, masa dan tarikh sama.

Syed Hassan Husaini (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merompak dan melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk remaja perempuan berusia 13 tahun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Syed Hassan Husaini (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan merompak dan melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk remaja perempuan berusia 13 tahun. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:03 PM