Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Raja-Raja Melayu mula tiba di Istana Negara, hari ini bagi menghadiri sesi Perbincangan Khas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Antara yang terawal memasuki pekarangan pintu Istana Negara adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang tiba pada 11.02 pagi.

Ia kemudian diikuti Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang memasuki pekarangan pintu utama Istana Negara pada jam 12 tengah hari.

Petugas media juga sudah 'berkampung' di hadapan pintu utama Istana Negara sejak jam 11.30 pagi, sementara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut kawalan keselamatan ketat di lokasi.

KENDERAAN membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba di Istana Negara pada 12 tengah hari tadi. FOTO Bernama
KENDERAAN membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba di Istana Negara pada 12 tengah hari tadi. FOTO Bernama

Perbincangan khas itu dijangka bermula jam 2.30 petang ini.

Selain Raja-Raja Melayu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dijangka mengetuai beberapa ketua agensi kerajaan bagi memberi taklimat dalam perbincangan khas itu.

Selain Mohd Zuki, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga dijangka menghadiri Perbincangan Khas itu.

Perbincangan Khas itu yang juga inisiatif Al-Sultan Abdullah bagi membincangkan usaha memerangi pandemik Covid-19 di negara ini termasuk pelaksanaannya ketika tempoh darurat yang sedang berjalan ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 1:58 PM