KPT dan Sekretariat Food Bank berazam memastikan struktur mekanisme penyelarasan bantuan Food Bank Siswa dibentuk lebih sistematik dan berstrategi di IPT.
KPT dan Sekretariat Food Bank berazam memastikan struktur mekanisme penyelarasan bantuan Food Bank Siswa dibentuk lebih sistematik dan berstrategi di IPT.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Dalam usaha menambah baik bantuan makanan kepada pelajar, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan Sekretariat Food Bank menjenama dan menstruktur semula Inisiatif Food Bank Siswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPT komited untuk memantapkan tadbir urus dan kecekapan penyaluran bantuan makanan kepada pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Menurutnya, kerjasama yang sudah dijalankan sejak lebih setahun ini juga manifestasi keprihatinan KPT terhadap kebajikan pelajar.

"Melalui kerjasama ini, KPT dan Sekretariat Food Bank berazam memastikan struktur mekanisme penyelarasan bantuan Food Bank Siswa dibentuk lebih sistematik dan berstrategi di IPT.

"Inisiatif nafas baharu ini menyasarkan pelajar kategori (B40), asnaf, fakir miskin dan berkeperluan, sekali gus menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi pelajar supaya mereka lebih fokus terhadap sesi pembelajaran di kampus sepanjang tempoh pengajian," katanya ketika mengunjungi gudang Sekretariat Food Bank bagi melihat proses penghantaran bantuan makanan kepada sukarelawan, barisan hadapan dan pelajar di IPT.

Noraini berkata, KPT dan Sekretariat Food Bank akan terus mencari rakan strategik lain untuk bersama-sama membantu menjayakan usaha ini dalam menjaga kebajikan pelajar di IPT.

STRUKTUR Inisiatif Food Bank Siswa baharu di IPT membabitkan sukarelawan pelajar yang dilantik sebagai Rakan KPT.
STRUKTUR Inisiatif Food Bank Siswa baharu di IPT membabitkan sukarelawan pelajar yang dilantik sebagai Rakan KPT.

"Struktur Inisiatif Food Bank Siswa baharu di IPT ini bakal membabitkan sukarelawan pelajar yang dilantik sebagai Rakan KPT. Sukarelawan ini akan disusun melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

"Pendekatan ini dilihat amat signifikan sebagai platform memperkasakan bakat kepemimpinan pelajar terutama dalam isu kebajikan.

"Mereka ini juga akan dibantu oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni di IPT masing-masing," katanya.

Noraini turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap sukarelawan, barisan hadapan dan pelajar di IPT.

"Mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan, bolehlah terus menghantarnya ke Food Bank Siswa di IPT dengan jumlah pembabitan orang yang sangat minimum.

"Agihan akan dibuat oleh sukarelawan di IPT masing-masing bagi mengurangkan jangkitan virus Covid-19 dari pihak luar.

"Bagi yang ingin menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang pula, YSS sudah menubuhkan tabung untuk memudahkan proses bantuan disalurkan," katanya.

DR Noraini (kiri) mengunjungi gudang Sekretariat Food Bank bagi melihat sendiri proses penghantaran bantuan makanan kepada sukarelawan, frontliner dan pelajar yang berada di IPT.
DR Noraini (kiri) mengunjungi gudang Sekretariat Food Bank bagi melihat sendiri proses penghantaran bantuan makanan kepada sukarelawan, frontliner dan pelajar yang berada di IPT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 10:58 AM