Gambar daripada rakaman video yang tular mengenai pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan PDRM
Gambar daripada rakaman video yang tular mengenai pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menyiasat kes pergaduhan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang dilaporkan berlaku kerana perselisihan faham menolak bakul sayur.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis sudah melihat tiga video yang tular di Facebook (FB) berkaitan insiden pergaduhan itu.

Menurutnya, video yang tular itu menunjukkan sekumpulan lelaki sedang menjerit-jerit dan tolak-menolak antara satu sama lain.

"Hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berlaku pada 4.30 petang semalam dan puncanya adalah disebabkan perselisihan faham antara kedua pihak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, pihak polis tiba di tempat kejadian sejurus selepas menerima maklumat mengenai pergaduhan itu.

"Bagaimanapun sewaktu pihak polis tiba di tempat kejadian, didapati pergaduhan itu

selesai.

"Pihak polis juga mendapati tiada sebarang senjata digunakan dalam pergaduhan itu," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu gaduh gempar di tempat awam dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Individu yang terbabit sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan perkara yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman awam," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 3:37 PM