HOSPITAL Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur yang berperanan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi COVID-19 sejak 1 Mac telah mula memberi suntikan vaksinasi kepada warga emas, golongan rentan dan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 31 Mei lalu. FOTO Bernama
HOSPITAL Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur yang berperanan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi COVID-19 sejak 1 Mac telah mula memberi suntikan vaksinasi kepada warga emas, golongan rentan dan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 31 Mei lalu. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dijangka dapat memberi 145,000 suntikan vaksin Covid-19 sehari bermula bulan depan, kata Menteri Penyelaras program Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, lebih 430,000 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada pengamal perubatan swasta yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corp Sdn Bhd, untuk digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, setakat Jumaat lalu.

"Pengamal Perubatan Swasta akan menyumbangkan 60,000 dos sehari minggu ini dan akan meningkat ke 78,000 sehari pada 23 Jun. Jangkaan kami pengamal perubatan swasta akan dapat menguruskan 145,000 dos sehari bulan depan (Julai)," katanya.

Bercakap dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Khairy berkata, bayaran RM14 diberikan kepada pengamal perubatan swasta dan RM1 dibayar kepada ProtechHealth iaitu syarikat di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu.

"Pembayaran kepada ProtectHealth adalah untuk melaksakan program antara lainnya seperti latihan, pembangunan sistem proprietari, mendaftarkan pengamal perubatan swasta dan memantau aktiviti vaksinasi," katanya.

Khairy dalam pada itu berkata, enam pusat pemberian vaksin (PPV) bersaiz mega dibuka di seluruh negara dan 30,000 orang dapat divaksinasi setiap hari di enam PPV mega itu.

Dalam pada itu Dr Adham dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penyertaan pengamal perubatan swasta masih dibuka khususnya untuk berkhidmat di pusat saringan Covid-19 dan PPV mengikuti lokaliti berhampiran di seluruh negara.

"Penyertaan ini selaras dengan pendekatan 'whole of government, whole of society' dan diharapkan akan mempercepatkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan pencapaian status imuniti kelompok dan seterusnya berjaya melandaikan keluk penularan pandemik Covid-19 di negara ini," katanya.

Pendaftaran boleh dibuat dengan melayari portal KKM di http://www.moh.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:14 PM