Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kelantan mengambil inisiatif membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersifat sementara di masjid, surau dan sekolah pondok bermula 2 Jun lalu untuk memudahkan penduduk mendapatkan suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ianya tidak terhad kepada orang Islam sahaja, malah mereka bukan beragama Islam juga boleh hadir di PPV berkenaan bagi mendapatkan vaksinasi.

"Bagi memastikan penduduk menerima suntikan vaksin secepat mungkin, kami juga mendapat sokongan daripada penggawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk menjalinkan kerjasama bagi mengumpul nama-nama selain mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan vaksin.

"Ia bagi memastikan seramai yang boleh rakyat Kelantan mendapat suntikan vaksin secepat mungkin, dan sekiranya PPV yang dibuka di pusat ibadat mendapat sambutan, pihak kami akan melanjutkan tempoh masa.

"Pembukaan PPV sementara ini akan memudahkan masyarakat setempat datang untuk mendapatkan suntikan vaksin, terutama bagi mereka yang terpaksa menghadiri temujanji di PPV komuniti berada agak jauh daripada rumah," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di PPV Sementara Bagi Daerah Kota Bharu di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi.

Dr Zaini berkata, pihaknya melihat kesedaran rakyat Kelantan terhadap suntikan vaksin semakin baik, malah ada masjid menawarkan untuk mengadakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19.

"Setakat ini, seramai 140,000 atau 11 peratus rakyat Kelantan sudah menerima suntikan vaksin dos pertama dan kita berharap bekalan vaksin mencukupi.

"Dalam masa sama, pihak kami juga merancang bersama kerajaan negeri, ketua jajahan dan pegawai daerah bagi memastikan 70 hingga 80 peratus rakyat di Kelantan mendapat suntikan vaksin secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan pedalaman, pihaknya akan cuba untuk memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin sebelum musim tengkujuh selewat-lewatnya pada September ini.

"Ini kerana keadaan cuaca pada ketika itu akan menyukarkan petugas kesihatan masuk ke kawasan pedalaman yang hanya boleh dilalui dengan menaiki pacuan empat roda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 3:25 PM