Tasik Chini.
Tasik Chini.
Asrol Awang


Kuantan: Taman Negeri Tasik Chini diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini mulai Mac 2019 sekali gus dakwaan berlaku aktiviti perlombongan di kawasan rizab hutan simpan adalah tidak benar.

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dalam kenyataan hari ini memaklumkan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Pahang menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bersetuju mewartakan kawasan seluas 4,600 hektar itu sebagai Hutan Simpan Chini pada 13 Mac 2019.

Menurutnya, ia juga dicadangkan sebagai kawasan baharu Rizab Biofera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Oleh itu, dakwaan bahawa kawasan perlombongan di sekitar Tasik Chini berada dalam rizab hutan simpan adalah tidak benar.

"Sebanyak 14 lesen dikeluarkan di kawasan terbabit sebelum pewartaan dibuat pada 2019, dan tiada lesen baharu dikeluarkan. Daripada 14 kawasan perlombongan ini, hanya tinggal dua yang masih beroperasi.

"Satu lesen akan tamat pada hujung bulan ini, manakala satu lagi akan tamat pada hujung tahun ini," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan memulihara khazanah alam, PTG Pahang komited memastikan tiada lesen baharu akan dikeluarkan di kawasan Tasik Chini.

Katanya, pihaknya juga tidak berkompromi atas kegagalan pematuhan syarat-syarat oleh pemegang pajakan dan operator melalui penilaian dan ulasan daripada lapan agensi teknikal.

"PTG Pahang turut mengeluarkan arahan berhenti kerja serta-merta ke atas semua pemegang pajakan dan operator di kawasan Tasik Chini -ada 17 Jun 2020 kerana didapati berlaku ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan aktiviti perlombongan.

"Kita mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi tindakan pemulihan akibat ketidakpatuhan kepada syarat kelulusan aktiviti perlombongan di Tasik Chini, Mukim Penyor Daerah Pekan pada 20 Julai 2020 kepada semua pajakan dan operator terbabit.

"Pemajak dan operator dikehendaki melakukan penandaan sempadan yang jelas, pemasangan penghadang, pagar, penanaman pokok, pendaftaran penggunaan jentera," katanya.

Katanya, mereka juga dikenakan bayaran bon jaminan RM250,000, penetapan jadual pemeriksaan, penyediaan pos pasukan penguat kuasa, pemasangan papan tanda dan lawatan pemeriksaan secara berkala untuk dibenarkan beroperasi semula.

Selain itu, katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut melaksanakan kerja pemulihan dan penanaman pokok di kawasan Tasik Chini dengan keluasan 1.2 hektar melalui Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama bernilai RM250,000.

"Kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam memastikan kelestarian khazanah alam bukan sahaja di Tasik Chini, malah di seluruh Pahang melalui tindakan penguatkuasan serta pemuliharan Sungai Ichat di Mukim Hulu Tenom daerah Cameron Highlands," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 3:25 PM