Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan penularan sebuah poster lama yang mengaitkan baginda tujuh tahun lalu, namun ditularkan kembali, baru-baru ini. FOTO IHSAN RPO
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan penularan sebuah poster lama yang mengaitkan baginda tujuh tahun lalu, namun ditularkan kembali, baru-baru ini. FOTO IHSAN RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar kesal dengan penularan semula sebuah poster lama kira-kira tujuh tahun lalu yang mengaitkan baginda, baru-baru ini.

Sultan Ibrahim dalam hantaran di akaun rasmi Facebook baginda bertitah, poster berkenaan memaparkan gambar baginda dengan keterangan baginda memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Namun, baginda bertitah, poster itu diputar belit mengikut konteks yang tidak tepat.

"Poster itu diambil daripada satu temubual eksklusif saya bersama akhbar The Star yang disiarkan pada 27 Disember 2015.

"Titah kenyataan saya pada waktu itu adalah berkaitan situasi pentadbiran negara pada waktu berkenaan dan tidak digunapakai dalam keadaan negara pada waktu kini.

"Bagaimanapun, penularan poster itu pada ketika ini berniat jahat dan jelas ingin mengheret Institusi Diraja Johor ke dalam isu-isu politik semasa negara," titah baginda.

Sultan Johor bertitah, baginda sedar kedudukan baginda sebagai seorang Sultan bermaksud tidak berpihak kepada mana-mana parti mahupun ahli politik.

"Sebagai Raja Berperlembagaan saya tidak mencampuri mana-mana parti atau perikatan politik yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum.

"Ketika Johor melantik tiga Menteri Besar dalam tempoh dua tahun (2018-2020), saya menerima keputusan kerajaan berkenaan dan memberikan kerjasama kepada mereka.

"Kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan saya dan Institusi Diraja Johor, tidak kira siapa pun yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 7:56 PM