GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Beberapa lokaliti di lima negeri iaitu di Sabah, Johor, Pahang, Sarawak dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 11 Jun hingga 24 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan Kampung Singgahmata, Pulau Banggi dan Kampung Sin San di Kudat susulan 17 kes positif Covid-19.

"PKPD turut dilaksanakan di Perumahan Kilang, Ladang Ong Yah Hoo, Kinabatangan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

"Daripada 151 ujian saringan, seramai 28 orang dikesan positif Covid-19 (di situ)," katanya dalam kenyataan media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, di Johor, PKPD dikenakan di Felda Inas, Kulai selepas KKM mengesan 43 kes positif hasil saringan ke atas 410 orang.

"PKPD juga dikenakan di Felda Jengka 7, Maran dan Felda Tembangau 1 dan Felda Tembangau 3, Bera di Pahang, manakala, PKPD di Sarawak berlangsung di Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, Sarawak," katanya yang memberitahu semua lokaliti menunjukkan berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19.

Selain itu, katanya, dua lokaliti di Tumpat, Kelantan berada dalam PKPD iaitu Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil apabila 75 kes positif direkodkan di Kampung Kutan Tengah dan 47 lagi di Kampung Ketil.

Beliau berkata, keputusan mengenakan PKPD di semua lokasi berkenaan selepas penilaian risiko yang dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

"Ia bagi mengawal pergerakan penghuni seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19, terutama apabila disahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 7:08 PM