VAKSIN AstraZeneca.
VAKSIN AstraZeneca.
Melvin Joni


Kuching: Polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang memburu individu yang terbabit menyebarkan berita palsu mengenai jumlah dos vaksin AstraZeneca yang diterima Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tindakan itu susulan laporan polis yang diterima daripada kakitangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), semalam.

Beliau berkata, berita tidak benar itu dimuat naik dalam laman Facebook menyatakan jumlah dos vaksin AstraZeneca yang sepatutnya diterima oleh Sarawak berkurangan daripada yang sepatutnya.

"Hantaran itu juga meminta JPBN dan Pasukan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (Scovag) menjelaskan perkara itu kepada orang awam.

"Siasatan awal mendapati hantaran berkenaan dimuat naik dalam FB 'Sarawak Covid-19 Awareness Group'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenyataan ini boleh menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif masyarakat terhadap kerajaan khususnya kerajaan negeri.

Katanya, tindakan tidak beretika ini juga memburukkan kerajaan yang sedang berusaha sedaya upaya dalam menyediakan vaksin bagi rakyat.

Ahsmon berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

"Polis dengan kerjasama SKMM akan memburu individu yang terbabit dan membawanya ke muka pengadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:21 AM