GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Situasi penularan jangkitan Covid-19 dalam negara masih pada tahap genting dan sangat serius apabila jumlah kes aktif masih terus meningkat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, statistik menunjukkan penurunan jumlah kes positif Covid-19 pada minggu epidemiologi (ME) ke-22, sebanyak 1,379 kes (penurunan 2.6 peratus) berbanding ME ke-21 susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh kerajaan bermula pada 12 Mei lalu.

"Namun, dalam tempoh sama, jumlah kes aktif didapati terus meningkat berikutan peningkatan kes mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.

"Pada awal ME ke-21 (23 Mei 2021), jumlah kes aktif adalah sebanyak 57,022 kes dan pada awal ME ke-22 (30 Mei 2021), ia meningkat kepada 78,017 kes (peningkatan 20,995 kes (37 peratus).

"Walaupun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, namun jumlah kes aktif masih terus meningkat hingga menjadikan pada jumlah kes aktif Covid-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian pada 8 Jun lalu (semalam) adalah sebanyak 82,797 kes," kata kementerian itu Facebook rasminya.

Menurut KKM, sehingga 6 Jun lalu, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan unit rawatan rapi (ICU) di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu daripada 99 peratus kepada 89 peratus.

"Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) turun sebanyak 54 peratus.

"Namun, kadar penggunaan katil Covid-19 di ICU meningkat daripada 96 peratus pada 24 Mei lalu hingga 104 peratus pada 6 Jun lalu.

"Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU," katanya.

Katanya, hospital di seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius (kategori empat dan lima) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (komorbiditi).

"Pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.

"Statistik yang diterima CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah antara 14 hingga 16 hari, manakala bagi pesakit kategori lima pula, tempoh rawatan selama 19 ke 26 hari," katanya.

Justeru, KKM mengingatkan situasi ini tidak boleh diambil ringan dan semua individu berperanan menjadi ejen perubahan dalam komuniti dan mengambil tanggung jawab bersama supaya kesinambungan kehidupan normal dapat dikecapi semula dengan kadar segera.

"Masyarakat harus sentiasa amalkan normal baharu, patuhi prosedur operasi standard (SOP) serta duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu.

"Segera jalani pemeriksaan sekiranya bergejala atau menjadi kontak kepada kes positif dan jika dibenarkan untuk menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), patuhilah segala peraturan.

"Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19 serta hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdasarkan tarikh janji temu yang diberikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 10:00 AM